Pancing

PANCING PANTAI



Air pasang detik terbaik

Kebanyakan ikan di pantai amat peka pada persekitaran dan perubahan pasang surut air. Ikan di kawasan ini lebih aktif apabila menjelang air pasang terutama pasang besar apabila ikan mara rapat ke pantai mencari makanan.

Peluang untuk menjerat ikan lebih terbuka pada waktu malam kerana waktu ini ikan biasanya tidak menyedari kehadiran manusia berhampiran. Jika dirujuk carta pasang surut air, banyak tempat menunjukkan air pasang pada lewat petang dan awal pagi. Jadi, kedua-dua waktu ini masa terbaik untuk memancing di pantai.

Selain merujuk pasang surut air, musim ikan kecil rapat ke pantai seperti bilis juga adalah musim terbaik memancing. Kehadiran bilis ke pantai turut membawa bersama pemburu yang mengikuti gerombolan bilis yang amat digemari kebanyakan ikan di pantai seperti gerung belang, ebek, gelama, haruan tasik mahupun pari.

Pelbagai jenis umpan boleh digunakan ketika memancing di muara. Pilihan umpan biasa dirujuk kepada jenis ikan yang ingin dipancing dan umpan yang biasa ditemui atau digunakan di kawasan itu. Namun umpan lumrah di muara ialah udang hidup adalah paling mujarab, perumpun atau hirisan ikan. Memilih mata kail sama seperti pilihan terhadap umpan. Malah saiz mata kail boleh ditentukan dengan kecil atau besar umpan yang digunakan.



Fahami istilah `tengok air’ dan `tengok bulan’

Pergerakan air banyak dipengaruhi oleh pergerakan bulan yang mempengaruhi pasang dan surut.
Kalau di Pantai Barat, tekong sering merujuk kepada air kerana ia elemen yang penting apabila memancing di sini.

Air merujuk kepada keadaan arus kerana Selat Melaka yang sempit menyebabkan terjadi perbezaan pasang surut yang amat ketara ketika air besar pada paras sehingga 5 meter.

Ia terjadi sama ada ketika bulan purnama (hari 15 bulan Melayu) dan bulan gelap sewaktu muncul anak bulan (hari 1 bulan Melayu). Apabila arus deras, ia akan mengeruhkan air dan menyukarkan ikan menemui umpan yang dilabuhkan.

Malah kehadiran arus melampau seterusnya mudah menghanyutkan ladung kecil. Masalah akan lebih rumit jika ramai pemancing berada dalam satu bot dan arah tali tertumpu pada satu kawasan seterusnya fenomena tali bersimpul sesama sendiri mudah terjadi.

Dalam dunia pancing moden kini, ramai pemancing memilih untuk keluar ketika air besar tetapi tumpuan memancing lebih kepada teknik jigging dan trolling. Dua teknik ini lebih efektif ketika air besar berbanding air mati untuk di Pantai Barat. Ikan dikatakan lebih agresif menyambar umpan ketika air pasang.

Istilah ‘tengok bulan’ sebenarnya lebih kurang sama dengan apa yang diperkatakan oleh nelayan Pantai Barat sebagai ‘tengok air’. Kerana asasnya pengaruh air adalah merujuk kepada peredaran bulan. Fakta menarik ialah sesetengah tekong suka memancing ketika bulan gelap dan ada memilih ketika bulan terang.

Masing-masing ada kelebihan sendiri merujuk kepada spesies ikan yang diburu. Ketika bulan gelap, tumpuan pemancing lebih ketara kerana ketika ini sotong mudah diperolehi dengan memasang cahaya lampu pada bot.

Jika bulan terang, sotong dikatakan berselerak di serata kawasan dan sukar untuk nelayan atau pemancing untuk menarik perhatian sotong. Sotong selain elemen hasil, ia juga adalah umpan terbaik memancing sebelah malam.

Sebab itu ramai menggemari memancing pada bulan gelap berbanding bulan terang kerana faktor di atas. Namun selain faktor air dan bulan, satu lagi aspek penting dalam perancangan trip memancing ialah ramalan cuaca atau keadaan musim yang bakal melanda pada hari perancangan.

Baik mana sekalipun keadaan bulan dan air tetapi jika cuaca tidak mengizinkan maka aktiviti memancing menjadi tidak bermakna.



Bulan Terang Dan Gelap

Ada pemancing gemar memancing ketika bulan gelap dan sebaliknya. Oleh kerana perairan (Selat Melaka) Pantai Barat Semenanjung agak sempit maka setiap hari berlaku dua kali air pasang dan surut. Maknanya selang 6 jam akan berlaku perubahan arus sama ada daripada pasang ke surut dan sebaliknya. Disebabkan paras pasang surut ini pula bergantung kepada peredaran bulan maka terjadi pula apa yang nelayan istilahkan sebagai air mati/bebanir dan air besar. Juga berlaku perubahan daripada air mati menjadi air besar dipanggil air menyorong dan daripada air besar menjadi air mati yang dipanggil air mengurang.

Jika ingin keselesaan memancing, ramai memilih ketika air mati iaitu dari 7 hingga 11 dan 19 hingga 24 bulan Islam. Ketika ini perubahan pasang surut tidak begitu ketara dan arus bergerak sederhana laju. Untuk mendapatkan keterangan dan paparan terperinci paras pasang surut, anda boleh merujuk kepada carta pasang surut yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut. Ia boleh dibeli di pejabat Shahbandar Wilayah atau kementerian berkaitan.

Air begini sesuai untuk memancing dasar. Cuma jangan pergi memancing pada waktu air mati kekal yang mana ketika itu arus boleh dikatakan sangat lemah atau tiada langsung. Keadaan ini turut menyebabkan ikan menjadi pasif apatah lagi untuk menelan umpan.

Pada zaman revolusi memancing yang sudah beralih angin yang mana penggunaan umpan tiruan lebih digemari kerana berstatus sukan pancing, air besar pula menjadi pilihan. Teknik jigging (mengunjun), trolling (menunda), popping (melontar popper) dan casting lebih praktikal dilakukan ketika air besar. Jadi, apa yang dapat penulis simpulkan di sini ialah kita masih boleh memancing tidak kira air besar atau air mati asalkan bijak menggunakan keadaan, memilih peralatan dan tahu persekitaran yang ada.



No comments: